Wednesday 10 June 2015

SEJARAH PEMBUKAAN KAMPUNG BATU MELINTANG


Sekumpulan keluarga yang datang dari Sumatra, Indonesia diketuai oleh Samad bin Tunggal (Alahyarham), sekitar awalan tahun 1900 telah singgah di Pekan Tapah dan pada keesokan harinya telah mudik menghulu Sungai Batang Padang lalu singgah di sebuah Pulau Pasir untuk berehat seketika.

 Semasa beliau dan rombonganya sedang berehat, tidak jauh dari situ menghala kehulu di tengah-tengah Sungai beliau ternampak sebuah Pulau yang dipenuhi dengan anak-anak kayu serta rumput-rumput melintang di tengah-tengah Sungai menyebabkan Sungai tersebut terbahagi kepada dua. Seterusnya beliau dan kumpulan cuba menghampiri Pulau tersebut dan didapati anak-anak kayu serta rumput-rumput tumbuh di atas  timbunan Batu Hampar yang berwarna hitam berlumut seakan-akan Dataran.

 Beliau dan rakan-rakanya mengambil keputusan untuk terus bermalam / tinggal sementara diatas Pulau tersebut. Setelah beberapa hari beliau dan rakanya menerokai di persekitaran kiri dan kanan tebing sungai untuk mencari tempat yang sesuai bagi aktiviti bercucuk tanam / sawah serta tempat mendirikan Pondok kediaman tetap, beliau dan rakanya juga memanggil tempat tersebut sebagai BATU MELINTANG  sehinggalah ke hari ini di kenali dengan KAMPUNG BATU MELINTANG.

Gambar: Samad Bin Tunggal (Duduk), Sutan Ali (Berdiri)

Sunday 31 May 2015

Sekapur Sireh Pengerusi JKKK Batu Melintang/Sunut


Encik Hamidon Bin Haji Musa
Pengerusi JKKK/Ketua Kampung Batu Melintang/Sunut



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam 1Malaysia saya ucapkan kepada pengunjung laman blog ini khasnya buat penduduk dibawah pentadbiran saya. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada saudara Faizil Fikri Zakaria atau Ateh selaku ahli JKKK bagi Biro Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Teknologi Maklumat didalam usahanya untuk mewujudkan blog ini. Didalam dunia kini menuju arus globalisasi yang semakin pesat membangun serta pembangunan infrastruktur teknologi maklumat yang semakin berkembang, dunia kini bukan lagi dihubungkan melalui kaedah persuratan tetapi melalui teknologi maklumat yang menghubungkan tamadun dunia dari segenap pelusok negara. 

Dengan adanya blog ini maka wujudlah satu era baru didalam pentadbiran JKKK Kampung Batu Melintang/Sunut. Segala maklumat kemajuan, pembangunan, pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan akan disalurkan kepada masyarakat setempat khususnya dan masyarakat luar amnya. Dengan ini satu sistem penyampaian maya pihak JKKK telah diwujudkan dan diharapkan ia dapat meningkatkan kadar literasi masyarakat terutama didalam mendidik masyarakat celik IT.

Akhir kata saya sebagai Pengerusi JKKK Kampung Batu Melintang/Sunut berharap dengan pembangunan blog ini dapat memberi maklumat yang berguna dan bermanfaat buat seluruh penduduk kampung. Justeru itu, saya menyeru seluruh penduduk Kampung Batu Melintang/Sunut untuk bekerja bersama-sama saya bagi membangunkan kampung ini dan untuk itu perpaduan perlu dibina dari segenap peringkat umur tanpa bersikap partisan serta tanpa melihat apa jua status, jawatan, kedudukan dan kepartian.

Sekian, terima kasih.